KONGSI KEGEMBIRAAN

29 September 2012

Bagi insan yang mahu berjaya, dia mesti sanggup menghadapi susah payah.
Membuka lembaran itu.
Memori kecil menjelma.
Tentang kisah dua tahun yang lalu.
Betapa kejayaan itu diraih.
Berkat kesabaran dan ketekunan yang berterusan.
Bukan sedikit usaha yang dilaburkan.
Bukan sedikit harga pengorbanan yang dibayar.
Bukan sedikit masa yang diperuntukkan.
Bukan sedikit harta yang dikorbankan.
Tragedi lalu, 1001 hikmah menyatu.
Hari ini, seorang insan mampu tersenyum.
Bahagia.
Bersama insan tersayang.
Di hari yang bermakna.
Bonda tercinta bersama adiknya, Cikgu Fadzli :) 

Kejayaan ini lebih manis. Bersama keluarga tercinta di sisi. 
Inilah insan berjasa.
Menjadi sumber inspirasi tika kubertempur di medan juang STPM.
Masih basah di fikiran.
Kiriman mesejnya, "kalau Pak Ndak yang tuo bangka ni pon boleh, angah mesti boleh. Pak Ndak tunggu di pintu USM."

Motivasi terhebat..
*Alhamdulillah, kini sudah tahun ketiga pengajian. Berkat dorongan. Insan terbaik*
Tahniah Pak Ndak.

MERENTAS KAMPUS

29 Oktober 2012.

Segigih fajar berusaha berbakti.
Seawal itulah permulaan hari.
Buat insan yang punya hati.
Sentiasa bertambah motivasi diri.

Keajaiban terasa di pagi hari. Walaupun perakhiran semalam menyaksikan diri agak lewat melangkah ke peraduan namun, kesegaran begitu terasa pada pagi ini. Berjaya bangun sebelum jam berbunyi. Itu suatu tanda yang positif. Awal lagi sudah kedengaran bunyi dan pergerakan orang menuju ke kamar kecil. Seperti yang diduga, 'mereka' begitu bersemangat untuk memulakan hari ini. Diri ini sangat kagum dengan 'mereka'. 

Cabaran Merentas Kampus
Entah dari mana kekuatan datang untuk sama-sama turun padang menyertai acara ini. Biarpun program ini hanya diwajibkan kepada 'mereka' yang berada di tahun satu dan dua sahaja(wajib--->akan demerit jika ada yang gagal menghadirkan diri, simpati pada 'mereka'), namun diri ini mahu juga menyelit. Menumpang sekaki. Menyahut seruan gaya hidup sihat barang kali. Atau bayangan merit yang jelas terdampar di hadapan jalan? Wallahua'lam. 

Sesuatu yang pasti, 'merentas kampus' ini merupakan peluang untuk aku berkenalan dan mengeratkan perhubungan sesama sahabat. Bukan senang ada kesempatan seperti ini. Dapat juga berjalan, tadabbur alam. Melihat keindahan kampus hijau yang kaya dengan pokok-pokok besar yang beribu tahun usianya. Merasai pengalaman berjalan di celah-celah dahan pokok yang menjalar dengan asyiknya. Tapi awas, silap langkah boleh terseliuh kaki. Menyelusuri ladang buah-buahan. Jelas kelihatan rambutan yang ranum memerahkan buah. Melihat ketrampilan pemimpin pelajar yang mengawasi sepanjang jalan. Inilah alam kampus yang sedang dilalui. Sujud syukurku kepada-Mu Ya Allah. Mengizinkan diri ini untuk merasai semua ini. Bukankah ini nikmat masa muda, masa sihat, masa lapang(???yeke lapang?hehe) yang harus dimanfaatkan. Semua ini terangkum dalam kotak memori yang terasa manis untuk dikenang.

*Amat rugi bagi mereka yang sambung tidur selepas Subuh*
Umat Islam harus aktif. Cergas. Tidur selepas subuh bukankah mewarisi kepapaan?Bimbang hilang keberkatan dan makruh pula.  Malah ketika zaman sekolah dahulu, mandi sebelum Subuh amat digalakkan. Pembuka pintu rezeki.
Sama-sama kita muhasabah.

Wakil-wakil KPZ yang bersemangat.
Keseluruhan tempat ke-10 kategori perempuan. Tempat ke-11 kategori lelaki. 
KPZ--->Hanya yang terbaik.


Kredit gambar Fb KPZ :) 

MINGGU KETIGA DI KAMPUS HIJAU

28 September 2012


Hari-hari yang dilewati sepanjang berada di kampus hijau ini terasa begitu pantas. Sesuatu yang pasti, longgokan tugasan sedang menanti disepanjang lorong menyelusuri  kolej hayat ini. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.  Masaku terisi J Semoga kutenang menerima segala-galanya.

“Everything happen for a good reason.”

Kolej Pendeta Za’ba

Semester ini menyaksikan kukembali menjaga kiosk di Kolej kediaman tercinta. Kukira, inilah antara jalan terbaik untuk berbakti dan menyumbangkan jasa kepada kolej dan pastinya menjanjikan merit. Dua kali seminggu. Petang Isnin dan petang Khamis, insya-Allah.  Sebenarnya, diri ini bukanlah ‘merit-oriented’. Cuma, untuk memastikan kelangsungan pengajian seterusnya ini masih dapat terus menginap di kolej ini dan bilik ini(Alhamdulillah, tak berubah bilik dari semester pertama lagi) maka kuharus memanfaatkan ruang dan peluang untuk sama-sama mengimarahkan program-program yang berada di sekitar kolej. Ya, kolej kediaman saya sangat aktif. Jujur, tiada sebarang jawatan yang dipegang kerana sememangnya diri ini menyedari kemampuan diri yang tidak mampu untuk menunaikan komitmen amanah itu. Jadi, menjaga kiosk merupakan alternatif yang terbaik. Jika saya tiada di bilik, sila cari saya di kiosk ya! J  Lihat, betapa kutelah menyiapkan diri untuk membahagikan tumpuan kepada perkara yang ingin kulakukan. Jika tidak sekarang, bila lagi Ina Nailofar?
Masa tiada masa nak buang masa dengan kamu.

Kamu Seorang Yang Sibuk? Benarkah?

Kita hidup bermasyarakat. Sejauh mana kita lari sekalipun, inilah kenyataan yang perlu kita sedari dan hadapi. Maka, hubungan sesama manusia harus dijaga. Adakalanya, untuk memenuhi keperluan ini, banyak perkara yang perlu dikorbankan. Terutama sekali yang berkaitan dengan kemahuan diri sendiri. Persoalannya, sampai bila kamu harus begini? Sampai bila nak ketepikan minat dan kemahuan kamu demi memenuhi tugas lain? Benar. Semuanya berlandaskan perjuangan. Namun, Allah takkan membebani kamu dengan sesuatu yang kamu tak mampu hadapi…Bijaklah berfikir. Berani bertindak. Lontarkan suara. Umur semakin meningkat bermakna kematangan harus dizahirkan semaksimumnya.

Menjadi Diri Sendiri.

Seseorang insan itu dilahirkan dengan 1001 minat dan keinginan diri. Kita akan berasa gembira dan bahagia apabila dapat melakukan sesuatu perkara yang kita suka. Masalahnya kini, untuk memenuhi keperluan itu, kau terpaksa ketepikan keinginan diri. Bahagiakah kamu dengan cara ini? Jika dua tahun yang lalu, memang ini yang kamu cari. Tarbiyah inilah yang kamu nantikan. Rezeki dari Allah, kamu dapat rasai betapa manisnya berusrah di alam kampus ini. Namun, takdir Allah tiada siapa tahu. Di saat kau masih berusaha membaiki diri. Kau ditaklifkan sebagai ‘seseorang’ di dalam jemaah itu. Sedang diri masih terkapai-kapai mencari hala tuju, kau digalas dengan amanah untuk sama-sama menggenggam tangan rakan-rakan untuk menuju jalan dan matlamat itu. Allah. Allah. Allah. Berat amanah ini. Acap kali membuatkan kau mengah. Lelah juga terkejar-kejar merencana dan melaksana itu dan ini. Bukan sedikit masa yang kau peruntukkan untuk itu. Dua tahun pengajian. Bersamaan empat semester pengajian. Selama tempoh itu, kau seakan jauh meninggalkan daerah lampaumu. Ya, hijrah ini. Menuntut banyak pengorbanan.

Antara minat dan amanah. Mana satu yang menjadi keutamaan?

Jauh di lubuk hatimu, kutahu bahawa kau bahagia dengan jalan yang sedang kau tempuhi. Bukankah jalan ini yang memang kau rindu selama ini. Namun, apabila angin rindu itu datang, datang pula bersama-sama kepulan awan yang berombak bersama seribu satu tuntutan amanah itu. Terasa diri begitu terhimpit. Nak tak nak amanah perlu kau lunaskan. Dalam masa yang sama kau rasa tak enak apabila tidak dapat buat perkara yang kau gemari. Bersama komitmen belajar yang menjadi keutamaan segala-galanya. Di sinilah mainnya peranan tarbiyah yang kau jalani itu. Tidak keterlaluan dikatakan, jika diri tidak pernah melalui asas tarbiyah itu, pastilah sudah lama kau berputus asa dan lari dari medan ini. Alhamdulillah, kau masih waras dan dapat menilai ranjau hidup ini. Allah uji sebab Allah sayang kamu. You are the chosen one. Allah chose you my dear!

Masa Kini Penentu Siapa Kamu Di Masa Hadapan

Dah sampai tahap ini, kamu tak boleh undur lagi. Teruslah melangkah ke hadapan sayangku. Bersama derap langkah itu, kau imbangi dengan keinginan yang kau dambakan. Kau mampu. Berusaha sungguh-sungguh mencapai mampu.

Jika sampai masa kau rasa hilang kekuatan, ambillah wuduk abdikan diri kepada Allah, minta kekuatan dari-Nya.

Jika ada masa kau rasa buntu, carilah seseorang yang boleh membantu. Kerja jemaah selamanya kau tak keseorangan.

Dan sampai masa kau berfikir, sampai bila kau harus hidup berjemaah begini? Jawapannya, sampai masa yang Allah telah tetapkan! Selagi nadi masih berdenyut, usah sesekali merungut. Jadilah hamba bersyukur.

Muhasabah malam.
Hidup ini penuh peluang. Peluang yang membuka lorong ke Syurga Allah, mengapa tidak Kau manfaatkan? 

TAHUN KETIGA

21 September 2012

Salam kemesraan :)

Alhamdulillah, punya kesempatan untuk kembali mewarnai entri di blog ini.

Di sini tempat berhimpun warga siswa.
Menjunjung amanah.
Berilmu berbakti.

Sedar tak sedar, kusudah berada di tahun ketiga pengajian.
Masa begitu pantas berlalu.
Itu kenyataan yang perlu kuinsafi.
 Berbaki tiga semester pengajian di kampus hijau dan selebihnya praktikum.
Semoga Allah SWT izinkan diri ini untuk menghabiskan pengajian dengan lembayung keredhaan-Nya.

Seperti yang kumaklumi, kepulangan ke kampus menjanjikan seribu satu urusan yang perlu kulaksanakan. Ya, semua gambaran dalam fikiran itu sedang dan akan kuhadapi.

Bangunan itu,
Tempat belajar.

Akademik
Semester ini memperlihatkan 20 jam kredit yang perlu kubawa. Jika hendak dibandingkan dengan sahabat-sahabat yang lain, jumlah jam kreditku ini kurang. Jelas kelebihan kerana tidak perlu mengambil subjek bahasa Inggeris di peringikat asas. Walau bagaimanapun, sudah melebihi had sebenar UPM iaitu 18 kredit. Insya-Allah, pengalaman semester tiga juga mengambil 20 jam kredit. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan, itulah yang menaikkan pencapaian peperiksaanku. Alhamdulillah. 
Ada tiga kelas amali yang perlu ditempuh. Sememangnya inilah yang paling mencabar.
Masih ada tugasan mengajar(micro teaching). Cuma kali ini lebih nyata kerana perlu mengajar di sekolah sebenar! Bukan berlakon lagi seperti semester-semester yang lalu, kawan-kawan yang jadi murid-murid. Selamat bersiap siaga Cikgu Ina Nailofar :)  
Kau semakin menghampiri dunia itu.

Apa yang menariknya semester lima ini?
---> Takdir Allah selalu indah-indah belaka. Semester ini, Ina sekali lagi diberi peluang untuk berada dalam kelas Dr. Ghazali Lateh. Seorang pensyarah yang kugemari. Pensyarah yang kukagumi. Syukur. Setelah Pengajaran Kemahiran Mengarang telah kulepasi, kini subjek Kemahiran Berkomunikasi Dalam Pengajaran Bahasa Melayu pula menyusul. Semoga semangat menulisnya meresap ke dalam jiwaku. Sesungguhnya, diri ini amat merindui dunia itu.

Dr. Roselan---> Akhirnya dapat belajar bersama beliau. Kuliah kedua yang lalu, beliau mengintai setiap inci nota pelajar. Tiba giliranku, beliau mengatakan nota aku 'cacat'.  Biasalah, nota Ina macam-macam corak dan bentuk. Amat kuhargai pujiannya itu. Terima kasih. Pujian tidak melekakan, kritkan tidak melemahkan. Ceewah :) 

Itu ceritera kuliahku.

***
Suratan mentakdirkanku berada dalam jemaah PKPIM UPM@KBMUPM. Kuyakin, Allah mahu mentarbiyahkan kumelalui jalan ini. Lewat penghijrahanku, Allah letak Ina dalam kesatuan ini. Sememangnya kusukakan kehidupan bermasyarakat. Namun, bila sedar amanah ini bakal dipersoalkan kelak. Jiwaku terasa gentar. Tragedi yang berlaku dalam 'induksi' minggu lalu, sedikit meresahkan jiwa mudaku. Namun, kuberusaha sedaya mungkin untuk cekal dan setia dalam gerakan ini. Pastinya,  menagih seribu satu pengorbanan. Nak sama-sama didik diri untuk jadi insan yang baik, hari demi hari. Insya-Allah. 

***

Dalam keluarga PBMP, secara tak sedar Ina diamanahkan untuk mewarisi satu program. Oleh sebab itu, semester ini julung kalinya ditauliahkan sebagai Pengarah program Tunas Kecemerlangan Bersama Komuniti di SMKA Maahad Hamidiah, Kajang. Semoga segalanya berjalan lancar. Ya Allah, permudahkan langkahku. 

***
Allah jadikan manusia itu punya seribu satu keinginan.
Seperti diri ini punya wawasan yang ingin dicapai.
Bisnes? Kraf? Menulis?
^-^
Pilihan berada di tanganmu.
Bijaklah membuat tindakan.

Semoga kudapat manfaatkan masa. 
Fokus.
Utamakan perkara yang penting.


~Siapa kita hari ini penentu kita di masa depan~

Jom berlari! :) 

Buktikan kemampuan diri.

TAUTAN HATI

sekadar hiasan

Siapa sangka, sekitar jam 2:17 pagi; tanggal 19 September 2011 yang lalu.

Tika kau diulit mimpi indah.
Tika kau beradu di kasur nan merah,
Jauh di sudut itu.


Ada seseorang sedang mengingatimu.
Ada seseorang sedang merinduimu.
Ada sesuatu dinukilkan kepadamu.
Tentang manisnya perkenalan itu,
Biarpun tiada di depan mata, zahirnya ada.
Beruntunglah duhai hati.
Bukankah takdir Allah terlalu indah!
Alhamdulillah…nikmat-Mu sangat luas!
Kasih seorang sahabat.
Tiada galang gantinya.
Kasih sayangku kepadamu kerana Allah.

*****
Kutinggalkan tulisan ini dengan catatan ikhlas seorang insan yang amat istimewa.

Kita insan terpilih--->mata 4 :)


Ina.
Pertemuan pertama kita adalah tulisan-tulisan kita. Minggu Penulis Remaja memberi memori yang mengekalkan ikatan itu sehingga hari ini. Maha Baiknya Allah. Hubungan yang terbina kekal sampai hari ini. Ina, kita saling menguatkan, ya. Mengejar tarikh akhir sahaja akak sering lelah. Mengurus waktu akak selalu rebah. Dari jauh, hembuskan pada deru angin doa buat akak, ya. Semoga akak terus kuat demi hari esok dan melupakan kisah semalam.

Adikku, teruskan menulis walau dalam apa medium. Ina punya bakat yang orang lain tiada. Ina pernah buktikan yang Ina mampu menembus majalah suatu masa dahulu. Akak juga. Terfikir juga, ke manakah hilangnya semangat suatu masa dahulu? Sudah menyorokkah keberanian itu? (kata untuk diri akak juga)

Akak gembira dapat berkongsi dengan Ina. Tentang itu ini. Dunia luar akak diam, tulisan akak tidak juga membisu. Maafkan akak kadang mesej selalu menjengah. Teringatkan Ina, terasa gembira dapat berkongsi gembira.

semoga Allah pelihara persahabatan kita, Ina. Projek kita juga semoga Allah permudahkan.

Ina, adikku. Semoga terus kuat menongkah perjalanan seorang mahasiswa. Kamu hebat!

*****
Terima kasih.
Nukilan bermakna.
Terasa diri ini amat dihargai.
Walaupun amat jarang kumemberi.
Terima kasih.
Untuk segala-galanya.
Sepanjang ukhwah bersemi.

Ketahuilah,
Tiada yang lebih indah.
Apabila kita sering hadir dalam doa dan ingatan seorang sahabat.
Ya Allah, permudahkanlah perjuangan seorang insan bernama Jamilah Mohd Norddin. 

*****Kerana kecintaan terhadap daerah itu,
perkenalan dan ukhuwah ini lahir. Alhamdulillah.

Kena ada 'sesuatu'  sebagai hasil  dan bukti kecintaan kita.


Nota kaki = Ila Husna dah ada 2 anak...Ina Nailofar? in the making...insya-Allah. 
Yakin dengan sebenar-benar yakin. 

BLOG=KEMBALI DIBUKA?

19 September 2012


Hampir sekian lama tidak menulis, kini saya kembali.
Kembali menyapu sawang-sawang yang memenuhi papan pemuka blog,
Kembali menyusun aksara, buat pengganti bicara,
Ya kembali...setelah kembara mencari diri yang memakan masa hampir lima tahun, huhu.

Alhamdulillah.
Atas secebis kesedaran ini. Alhamdulillah.

Semangat semester baru barang kali. Jua kerinduan untuk kembali ke medan itu.
Allah tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Yakin dengan sebenar-benar yakin.

Dengan itu, secara rasminya.
Blog ini kembali dibuka ^_^

Semoga istiqamah menulis, Ina.
Banyak perkara yang perlu dikongsikan.
Kembalilah sayang...
Demi sebuah perjuangan.

Manfaatkan detik waktu yang kita kecapi kini.
Insya-Allah.

Terima kasih kepada yang sudi berkunjung ke blog ini.
Walau tiada kupasan dan gersang pengisian, namun bilangan 'pengikut' amat menggalakkan. 

Salam ukhwah seharum setanggi Syurga,
~Ina Nailofar~
Kolej Pendeta Za'ba, Kampus Hijau.