AKU 'AMIRAH'???

16 March 2013

~Kalam Hikmah~

Dalam mengupas surah Ali Imran ayat 23, masing-masing akan diadili mengikut apa yang diamalkan. Walaupun bukan kata-kata. Perbuatan juga.Senyum dan ketawa itu juga dicatit oleh penjaga di kedua bahu kita. Nilainya yang akan dihisab. Senyum ikhlas adalah sadaqah. Senyum sinis sebaliknya. Tiadalah dizalimi oleh Allah. Yang zalim di dunia akan dituntut, membawa bersama kegelapan di akhirat. 
(Kalam Habib Ali Zaenal Abidin)


AKU ‘AMIRAH’?

Masih basah di fikiran memori dua tahun yang lalu.

Bersama seorang rakan PBMP, Hidayah; tika Bazar Persatuan di Bukit Ekspo sempena Minggu Penutupan Orientasi Pelajar Baharu sesi 2010/2011. Kami mencari booth anak negeri.  Jelas di mata, booth Anak Negeri Kelantan, Terengganu, Perak, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Meriah booth mereka bersama kibaran bendera negeri masing-masing. Lambang berkobarnya semangat mereka menyambut adik-adik baru yang baru berada di perantauan ini. Melintasi beberapa booth, panjang kepala meninjau-ninjau. Sebenarnya apa yang kami cari? Pastinya Persatuan Anak Negeri Kedah,  ataupun Pulau Pinang. Namun, hampa.   Jelas tidak kelihatan. Lantas, kami memberanikan diri untuk bertanya seorang sukarelawan di salah sebuah booth yang berhampiran. Jawapan beliau, merungkaikan persoalan yang berlegar di minda. Dulu ada, sekarang sudah tidak aktif. Noktah.

Kami masih berlegar-legar di sepanjang booth yang ada. Masuk booth, tulis nama dan beberapa butiran pengenalan diri dan ambil cenderahati. Terima kasih J  Pelajar baharu kan, memang seronok kumpul barang yang ada tulis nama kampus hijau!

Hinggalah  tiba di satu booth, Hidayah menunjukkan reaksi tidak berminat untuk memberikan butiran diri di situ. Melihat nama kelab yang tertera menarik minatku sebenarnya. Kelab Bimbingan Mahasiswa(KBM). Persis unit Pembimbing Rakan Sebaya(PRS) di bawah Kaunselor ketika sekolah dahulu yang aku secara paksa rela menjadi Pengerusi dahulu. Namun, tiada sebarang gerak kerja yang dilakukan melainkan sebagai memenuhi jawatan yang ada. Tidak seperti PRS di sekolah lain, MRSM misalnya punya uniform tersendiri untuk PRS. Mungkin faktor masih baharu di SMKSE. Ah, itu kenangan lama! Sesuatu yang pasti, Hidayah menunggu aku menulis nama di borang yang disediakan di booth KBM ini.

Bermulalah pengembaraanku di bumi hijau ini. Minggu pertama memperlihatkan aku berlari-lari mencari kelas. Terutama untuk subjek universiti yang kelas berada di fakulti lain. Memang lelah  sepanjang pengalaman awal itu. Seminggu selepas itu, menerima mesej pesanan ringkas yang mengkhabarkan rehlah KBM di Bukit Ekspo juga. Daripada nombor telefon yang tidak dikenali. Banyak juga mesej yang kuterima dari kelab dan persatuan lain. Entah tarikan dari mana, rehlah ini yang membuka hatiku. Lantas, aku mendapatkan seorang teman yang kukenali di Bukit Ekspo minggu lalu, Munirah(Awek Kelate) untuk menemaniku ke rehlah tersebut. Munirah pula tidak keberatan untuk turut bersama. Padahal hujung minggu itu waktu yang seronok untuk duduk berehat di bilik sahaja.  Allah, mudahnya Allah membuka jalanku ke sana. Alhamdulillah.

Bermula rehlah KBM ini, segala-galanya bermula. Memang tidak ramai yang hadir tika hari tersebut. Sekitar 20 orang sahaja. Namun, manisnya salam taaruf yang dihulur sukar untuk diterjemahkan. Bermain ala-ala bola jaring. Berhenti makan dan minum pagi dan seterusnya duduk berkumpul dalam bulatan gembira. Pelbagai karakter baru muncul di hadapan mata. Jujur, hati tertarik untuk sama-sama berada dalam kelompok keluarga bahagia mahasiswa ini. Seorang insan yang hadir ke bumi hijau dengan niat dan harapan untuk mencari ‘nur’ Ilahi ini akhirnya dipertemukan dengan KBM sebagai medan perhijrahan diri. Itu pemula, bagaimana diri ini mencari dan akhirnya dipertemukan dalam ikatan ukhwah yang amat manis ini. Jalan yang dilalui ini bukan mudah. Banyak pengorbanan yang telah, sedang dan menuntut untuk dilakukan. Banyak tuntutan masa, perhatian tumpuan dan air mata yang dah tumpah dek perjuangan ini. Setelah hampir dua tahun ini berlalu, akhirnya masa ini tiba juga. Tak terlintas di minda untuk memegang jawatan ini. Apatah lagi di alam varsiti ini. Jika dahulu, di bangku persekolahan memang aku disaluti banyak jawatan. Dalam satu masa pernah menjawat beberapa jawatan penting di sekolah. Tetapi kini jujur, aku tak pernah menjadikan jawatan sebagai sasaran sejak berada di kampus. Itulah, hebatnya aturan Ilahi. Allah kata ‘kun fayakun.’ Maka, segalanya terjadi.

Muktamar KBM ke-21, aku menjadi bidan terjun sebagai pengacara majlis.

Muktamar KBM ke-22, aku dinaikan sebagai Timbalan Setiausaha.

-Laporan khas muktamar-
Dengan izin Allah SWT, semalam 15hb Mac 2013 telah diadakan muktamar KBM yang ke -23. Lihat, usia penubuhan KBM juga sematang usiaku ini. Dan kali ini, aku ditauliahkan sebagai Amirah KBM. Allah…aku redha dengan apa yang diaturkan ini. Meskipun, jauh di sudut hati aku mahu lari sejauhnya dari medan ini. Mahu memberi masa kepada diri untuk menumpu perhatian kepada sisa-sisa hayat di kampus hijau ini. Namun, akademik memang nombor satu tetapi dakwah bukan nombor dua. Allah…bantulah aku untuk memikul amanah ini. Sebagai seorang insan yang dilahirkan dengan seribu satu minat dan kecintaan ini, amanah yang baru diterima ini menambah ruang kerja yang sedia ada.

Aku ingin bebas daripada dilema cinta ini. Aku ingin bebas daripada masalah. Namun, sudah sampai di peringkat ini, aku tidak boleh undur ke belakang lagi. Belajarlah untuk redha. Hanya satu yang aku pegang. Allah beri pada takat usaha hamba-Nya. Andai rezekiku sudah tertulis itu, apabila tiba masanya pasti akan menjadi milikku jua. Perancangan Allah hebat, takkan awal atau lewat sikitpun. Milikilah jiwa yang teguh. Jika kesibukan yang dirisaukan? Yakinlah, kesibukan itulah yang mendisiplinkan diri.

Salam takziah buat diri. Amanah ini bakal dipersoal kelak. Inilah kemuncak kepada detik penghijrahan seorang hamba. Ini masanya untuk aku baiki segala khilaf lalu. Ya Allah, betapa Kau telah banyak menjaga aibku. Mana mungkin aku menjadi hamba yang tidak bersyukur. Alhamdulillah, aku punya masa dan kesempatan ini untuk perbetulkan segala-galanya. Terima kasih ya Allah.



Tahniah buat adik-adik yang sedang bersamaku dalam saf qiyadah baharu KBM 2013/2014

Amir Syazwan Al-Banna (Presiden)
Muinnuddin YB (Timbalan Presiden 1)
Zhafri (Setiausaha)
Wan Aima Atiqah (Timbalan Setiausaha)
Tuan Sharifah Khairunisa (Bendahari)
-Barisan exco-
Adila Samsu, Hanisah Humaira, Najwa, Khairani, dll

Insya-Allah, bakal berkenalan bersama adik-adik hebat ini. Masing-masing punya kekuatan tersendiri. Petah berbicara, pemikir, manis senyuman dan seribu satu karakter baru yang bakal memeriahkan legasi kepimpinan KBM. 

***Besar harapan mantan kepada kami untuk terus memanfaatkan kehidupan berorganisasi di bumi hijau ini.

KBMUPM....
Ini medan muhasabah,
Ini medan penyuburan kasih sayang,
Ini medan pertautkan ukhwah,
Ini medan memugar potensi yang ada. Insya-Allah.

0 Lontarkan KALAM anda: