JOHAN CERPEN?

16 March 2013

Semester keenam di bumi hijau yang subur ini menyaksikan pelbagai kejutan yang tidak disangka-sangka.  Alhamdulillah, syukur. Sesuatu yang kuperoleh ini merupakan kemuncak kepada medan kecintaanku selama ini.

Pertandingan dijalankan pada semester yang lalu. Lama juga masa yang diambil untuk pengumuman pememang. Hampir terlupa sebenarnya. Surat jemputan ke majlis penyampaian hadiah juga tiba lewat  di pintu bilik dan hakikatnya aku tidak hadir pun ke majlis tersebut. Tak yakin langsung yang boleh menang. 
Aku Johan Cerpen?


Bagaikan mimpi meraih kejayaan ini. Cerpen pertama yang kuberjaya tukangi. Mungkin ramai yang tidak percaya, sepanjang kurang lebih 11 tahun menulis. Inilah kali pertama aku menulis cerpen sepenuhnya. Yakni, hingga habis. Selama ini hanya semangat mendraf sahaja, buat rajah pohon la, ranting la untuk kembangkan cerita tetapi hanya di pertengahan jalan sahaja.  Mungkin benar, aku lebih senang menulis sajak dan puisi lagi (memang genre itulah yang mendapat tempat di media percetakan suatu masa dahulu…ditegaskan dahulu…lama dah tak menulis ). Sebab itulah, kucuba habiskan juga penulisan cerpen ini. Mencabar diri untuk membuktikan sesuatu. Walau pada hakikatnya, cerpen ini amat bersifat peribadi. Tetapi, inilah medan pemula untuk aku mendaki genre cerpen pula.
Ingat lagi, cerpen ini juga dihantar pada minit-minit terakhir sebelum menjelangnya tarikh tutup. Masa yang amat singkat dek tempoh pengeraman yang agak lama bagi menghasilkan cerpen ini. Alhamdulillah, berhasil.

Terima kasih kerana penilai, seksyen kaunseling UPM kerana memilih cerpen aku sebagai pemenang.

Rezeki awal semester. Bertepatan dengan masanya. Menanti biasiswa yang belum kunjung tiba.
Kapankah masuknya???

Menjadi johan, bukan bermakna yang terbaik. Mungkin, rezeki berpihak kepadaku. Alhamdulillah. Tahniah kepada pemenang yang lain. Melihat nombor matrik pemenang yang lain, rata-rata mereka lebih muda daripadaku. Ramai berada di tahun kedua dan pertama pengajian. Potensi mereka lebih besar untuk dipertengahkan.

Apapun, masih teringat ketika mengambil hadiah, kaunselor Puan Anis membisikkan sesuatu.
“Sila redha ya apabila cerpen ini diterbitkan.”

Oh, malunya aku! Kurasakan cerpen ini amat bersifat peribadi kerana tema pertandingan berkisar kepada pengalaman berada di UPM.  

***Kejayaan kecil ini menjadi titik mula untuk aku mengorak langkah untuk kembali menulis. Kerana apa? Ini medan kecintaanku. Insya-Allah. 

Nota kaki = Aku punya tugasan membuat cerpen untuk subjek di bawah Dr. Ghazali Lateh. Jujurnya, hingga saat ini masih belum gerak untuk menaip cerpen tersebut. (cerpen keduaku, insya-Allah). Entri ini buat pemugar semangat untuk bangkit segera menyiapkan tugasan tersebut. Chaiyok...chaiyok :) 

3 Lontarkan KALAM anda:

Jamilah Mohd Norddin said...

Cemburu. Haha.

Tetamu Istimewa said...

Tahniah! Bukan senang nak menang. Semoga terus menulis.

Nak tanya, Dr Ghazali Lateh ,emngajar di UPM ke? Fakulti mana? Rasanya semasa saya belajar dulu, tak ada pula.

♥ Nur Hazlina Binti Mohd Fisol ♥ said...

---> Jamilah Mohd Norddin,

Kejayaan insan kecil, tak perlu cemburu kok :)



---> Tetamu Istimewa,

Terima kasih ucapannya.
DR. Ghazali Lateh baru sahaja mengajar di UPM. Kini, mengajar di Fakulti Pengajian Pendidikan.