Satu kata berutus cinta
10 September 2013
Banyak peristiwa yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Ada berbaur kejutan, ada yang mengundang aliran deras mutiara jernih dan ada
yang membuahkan keinsafan dek tarikan sekejap nikmat kesihatan. Semua ini
sedikit sebanyak mengubah kehidupanku. Sekali pandang ia berlaku seakan terlalu
drastik. Namun, aku pasakkan keyakinan dalam hati. Setiap yang berlaku itu ada
hikmahnya. Yakin dengan sebenar-benar yakin.
Melalui
dua hari di kampus hijau ini, memberi persepsi baharu dalam diri. Bagaimana aku
memandang sesuatu itu. Bagaimana tafsiran aku terhadap perkara yang berlaku di
hadapan mataku. Allahurobbi…benar, rupa-rupanya Allah hadiahkan aku dengan sesuatu.
Pandang dari sudut positif, dua hari berturut-turut waktu petangku terisi.
Buku-buku menjadi peneman setia. Alhamdulillah, sekali harung khatam semua.
Sampai tahap ini, nikmat apa lagi yang mahu kau dustakan duhai diri? Sedar dan bersyukurlah J
Satu buku yang merubah paradigma aku tentang rezeki. Keikhlasan penulis dapat kurasakan. Proses penerimaan buku yang tepat pada masa dan tika yang sepantasnya. membawa aku ke suatu daerah yang baharu. Insya-Allah.
Al-fatihah buat arwah. Aku kagumi semangat dan fikrah perjuangannya.
Puan Mawar, Allah uji tanda mahabbah kan? Embun dan Kekwa, membesarlah kalian menjadi untaian rantai penerus perjuangan ayahandamu. Izinkan aku bertemu mereka, ya Allah.
Hari ini
melihat promosi buku yang aku idamkan sekian lama. Pantas sahaja tangan ini
menaip ayat untuk membuat tempahan. Sedangkan aku buat-buat tidak sedar akan baki
wang dalam akaun hanya tinggal cukup-cukup untuk hidup di kampus hijau ini.
Duit sara hidup masih belum kunjung tiba. Jika ditakdirkan semester ini terjadi
kelewatan kemasukan wang seperti semester lepas yang memakan masa hampir empat
minggu lamanya. Bagaimana untuk kamu meneruskan kehidupan? Hendak meminta
kepada keluarga? Mulutmu amat berat sekali. Egokah aku? Mahu makan mee segera? Senyum.
Berpuasa? Insya-Allah. Ya Allah, ampunilah hamba-Mu ini. Sungguh aku cinta akan
ilmu. Mana mungkin untuk aku lepaskan buku yang sekian lama aku dambakan.
Melihat nombor stok yang ada Cuma 20 buah, maka aku perlu merebut peluang ini.
Ya Allah, permudahkan urusan penerimaan wang biasiswa untuk semester ini. Aku
yakin bukan aku sahaja yang memerlukannya, sahabat-sahabat yang lain juga
memerlunya. Demi sebuah ketenangan hati. Untuk terus menekuni semester ini
dengan jiwa yang bahagia. Bukankah itu hak kami?
Ceritera tentang persahabatan. Aku letakkan
kepercayaan buat si dia. Aku sayangkan dia sebagai sahabatku kerana itu aku
berkongsi rasa. Aku berkongsi cerita. Semoga keikhlasan ini membuahkan
kemesraan di hatinya. Bersahabat bukan setakat mahu bersama di dunia, bahkan
jauh lagi matlamat yang ingin kita capai. Bersama hingga ke Syurga. Ajari aku
untuk sentiasa memperbaiki diri ya sahabat.
Hari Selasa hanya tinggal beberapa jam lagi. Tarikh
akhir untuk penghantaran draf satu penulisan tesis penuh hanya tinggal dua
hari. Apa yang kau sedang lakukan sekarang? Mengapa masih belum bergerak? Giat
mara membuka fail dan mulakan sayang. Meskipun rasa payah, rasa terpaksa,
hadirkan segenap tumpuan hati. Insya-Allah, andai benar ikhlas dan gigih
berusaha, pasti ada jalannya. Berusaha sementara ada masa. Bukankah Allah
mengajarkan kita untuk berusaha bukan sekadar menunggu dan berharap draf itu
lengkap sendirinya.
“Terlalu banyak yang ingin kau lakukan saat ini,
namun, pilihlah yang utama. Kamu pasti akan bahagia.”
Salam inspirasi,
Ina Nailofar, bumi Serdang UPM.
Label : Coretan
:: Pena Berdansa :: UPM dihatiku :)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Lontarkan KALAM anda:
Post a Comment