MENUJU TAHUN AKHIR PENGAJIAN

21 May 2013


Sedar tak sedar, aku sudah punya ‘Penyelia’ yang bakal menyelia sepanjang perjalanan menuju destinasi akhir aku bergelar ‘siswi’ di Kampus Hijau ini. Semester keenam  hanya berbaki seminggu lebih, cuti ulang kaji seminggu dan peperiksaan akhir. Kemudian, semester ketujuh yang bakal menyaksikan aku menghabiskan saki-baki subjek yang ada sebelum meninggalkan bumi hijau ini untuk keluar berpraktikal. Rencahnya kehidupan kini…dan masa yang ada terasa amat singkat. Allahurobbi.

Memilih Tajuk Projek Ilmiah Tahun Akhir

            Taklimat awal telah diberikan oleh Dr. Hj. Samsuddin Othman sekitar sebulan yang lalu. Melalui taklimat tersebut, kami diarahkan untuk memilih tajuk yang betul-betul diminati. Paling penting, boleh dibuat dalam jangka masa yang diberikan. Tak perlu terlalu gempak katanya. Ini baru projek pertama. Dan diselitkan juga cadangan untuk menjalankan penyelidikan hanya di kampus. Lebih mudah. Berbanding buat di sekolah memerlukan urusan surat-menyurat untuk memohon kebenaran masuk sekolah yang pastinya memakan masa untuk mendapatkannya.

            Ada relevannya kata-kata beliau. Namun, kerana memikirkan topik yang hendak aku kupas dan lebih seronok jika respondennya murid-murid sekolah maka aku setkan fikiran untuk buat di sekolah. Tambahan pula, aku punya hubungan yang baik (baca : kamceng) dengan guru-guru Bahasa Melayu di sekolah dahulu, maka tiada masalah untuk buat kaji selidik di sekolah. J

            Antara tajuk yang aku fikirkan untuk tesis :-

·         Tinjauan Pelaksanaan Program Majalah Dalam Kelas (MDK) Sebagai Bahan Bantu Mengajar Kemahiran Mengarang.

·         Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kesantunan Berbahasa Murid-Murid Dalam Perbualan Harian.

·         Peranan Pusat Sumber Sekolah (PSS) Terhadap Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

·         Hubungan Konsep Kendiri Dan Motivasi Terhadap Pencapaian Akademik Bahasa Melayu.

·         Hubungan Minat Membaca Dengan Tahap Penguasaan Kosa Kata Murid-Murid.

Isu yang aku pilih seperti dia atas merupakan persoalan yang aku fikirkan mahu dikupas. Ada yang banyak kajian lepas-lepas dan membantu untuk buat sorotan literatur dan ada juga yang belum ada tajuk tesis berkaitan itu. Contohnya, Program MDK yang amat aku minati tetapi kurang bahan rujukannya. Inilah yang menjadi cabarannya.


Malu Bertanya Sesat Jalan
            Dalam kerumitan memilih tajuk yang benar-benar menepati citarasa dan mudah mendapat rujukan, aku ada mendapatkan pendapat dan pandangan beberapa orang senior terdekat dan guru-guru yang baik hati.

v  Puan Solehah Abd. Hamid
Beliau antara insan terawal yang membantu aku, memberikan komentar tentang tajuk pilihan dan cadangan untuk mengembangkan idea yang sedia ada. Perbincangan kami melalui laman sosial muka buku. Pada waktu yang menjengah ke tengah malam. Terima kasih cikgu atas kesudian anak didikmu ini! Ohya, ini sifu BM sewaktu aku di tingkatan enam.

v  Puan Roni Samsuddin
Perbualan kami menerusi telefon bimbit membuahkan hasil. Idea cikgu ini datang bercurah-curah. Aku hanya bertanyakan apa senario di sekolah kini yang boleh aku kaji, maka dia senaraikan kepadaku. Siap bagi cadangan, kesantunan berbahasa itulah yang kononnya cocok denganku. Ya, aku berkampung sehari di Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) untuk mencari bahan berkaitan dengan topik kesantunan berbahasa! Ketemu rujukannya tetapi memerlukan ketelitian untuk menghuraikannya. Beliau sifu aku ketika mewakili Pesta Pantun dan Sayembara Puisi dahulu.


Seceria Wajah Penyelia

17 Mei 2013. Jumaat. Pertemuan kedua kami bersamanya. Aku, Zie, Fura, Dayah dan Asi bertemu Dr. Jamaliah untuk bertanya dan berbincang tajuk kami. Habis pusingan pertama. Masing-masing nyata belum berpuas hati. Apa yang mahu diukur?Tanya Dr. Jamaliah bertubi-tubi.  Hendak membuat kajian mesti jelas. Statistik apa yang hendak digunakan. Allahurobbi. Ternyata pengetahuan kami amat cetek. Tak terjangkau dek akal, huhu.
Pertanyaan seorang sahabat yang cukup berhati-hati itu memecahkan segala kerumitan yang ada. Pertanyaan tersebut ternyata membuatkan penyelia kami tersenyum lebar. Manis sekali. Dan jawapan daripada Dr. Jamaliah melahirkan bunga-bunga bahagia di ruang atma. J  Cuma kami perlu mendapatkan persetujuan daripada penyelaras PBMP tentang hal itu.

Usaha Mendapatkan Titik Persetujuan

            Kami bergegas ke Bilik Penyelas. Tetapi hampa, beliau tiada di bilik. Menghubungi beliau dan menunggu beberapa minit. Akhirnya beliau tiba dan kami berbincang sehikmah mungkin.
            Kata putus dicapai. Boleh jalankan penyelidikan di luar bidang pengkhususan tetapi masih dalam ruang lingkup pendidikan. Alhamdulillah J

Pertolongan Allah Datang Dari Arah Yang Tak Disangka-Sangka

            Kembali mendapatkan Dr. Jamaliah. Usaha menghubungi beliau tanpa henti. Setelah penantian demi penantian, akhirnya jam 3 janji temu kami. Pertemuan kali kedua. Hari yang sama. Drastik sekali. Itulah aturan Ilahi. Hujan rahmat mengiringi petang Jumaat itu.

            Dengan wajah yang tenang, beliau membuka data dapatan kajian beliau. Dalam masa yang kurang sepuluh minit, lapan tajuk telah tersedia di hadapan kami. Hanya tunggu pilih dan bahagi antara kami berlima. Senyum pada mentari yang berada di hadapan.

“Hubungan Kekerapan Penglibatan Dalam Aktiviti Kampus Dengan Keupayaan Kepimpinan Dalam Kalangan Mahasiswa.”
(Bittaufiq wannajah Ina Nailofar)

            Jujurnya, tajuk ini sangat mencabar. Bukan kerana ruang lingkupnya di luar bidang BM tetapi sebab memang mencabar la J Bertepatan dengan penglibatan aku dalam kepimpinan kelab memang seakan kena dengan keupayaan diri. Ya Allah, permudahkan segala urusanku untuk menyantuni tugasan tesis akhirku ini.


Mahu Senyuman Ceria Sang Penyelia Itu Terus Terukir

            Kepercayaan yang penyelia berikan ini merupakan peluang emas yang perlu dimanfaatkan. Sebijaknya. Meskipun banyak rujukan dalam bahasa Inggeris, tetapi aku harus positif. Inilah masanya untuk aku kembali memungut kekuatan untuk memperbaiki penguasaan bahasa ini. Usah berdalih lagi J

            Kami berlima perlu usaha sekeras tenaga untuk mencari bahan rujukan literatur dan membuat persediaan untuk sesi perbentangan yang akan diadakan seminggu lebih dari sekarang.


Berjalan Tanpa Henti

            Langkah untuk menukangi tesis ini baru sahaja bermula. Aku tahu bukan mudah untuk berjaya. Bukan mudah nak hasilkan penulisan ilmiah ini. Pasti banyak pengorbanan yang perlu aku korbankan. Ya Allah, semoga aku benar-benar bersedia mental dan fizikal untuk berhadapan ini. Besar harapanku agar kajian ini dapat dimanfaatkan dalam gaya hidup sehari-hari.

Hakikatnya kita dilahirkan sebagai khalifah di muka bumi ini. Semua orang merupakan pemimpin dan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya. Jadi, keupayaan kepemimpinan ini tidak perlu dipertikai lagi. Mendepani isu mahasiswa kampus kini yang dilihat lesu dan suka membisu. Tak suka melibatkan diri dengan aktiviti luar. Hanya 3 K (Kolej, Kafe dan Kuliah). Semua ini merencatkan perkembangan sahsiah seorang insan. Bagaimana Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang seimbang dari aspek JERI berdasarkan kepatuhan dan kepercayaan kepada Tuhan mampu dicapai? Matlamat kita tinggi, pemupukan ke arah insan kamil.  Allahurobbi.

 Isu ini menarik untuk dikupas. Kumohon kekuatan daripada Allah SWT, permudahkan usahaku. Semoga aku mampu belajar banyak perkara daripada tesis ini. Kurniakan aku kesihatan yang baik untuk merealisasikan amanah ini. Pastinya dalam jangka masa yang diberikan. Satu semester kini bukanlah jangka masa yang lama dan tidaklah terlalu singkat bukan? Positif untuk jadi lebih kreatif dan inovatif. Insya-Allah.

***
Menulis tesis??? Amanah yang akan dipersoal. Senyum pada mentari yang berada di hadapan. J

0 Lontarkan KALAM anda: