Menggapai Impian Semester 5(1/2)

28 December 2012

Catatan ini kembali lagi.
Mendendangkan rentak hati,
Yang bersegi-segi.

Sedar tak sedar sudah berada di tahun ketiga pengajian dalam kos pengajian yang menjadi pilihan sukma. Alhamdulillah. Nikmat yang sentiasa perlu disyukuri J
Hakikatnya belajar dalam kos impian ini tidak semudah yang disangka. Lagi besar ujian Allah beri buat kita. Sebab apa?Jika benar suka mesti diuji kan untuk tengok sejauh mana kesungguhan dan keutuhan cinta tu. Tak gitu? J

 Namun, satu yang aku pegang. Sebesar mana pun cabaran yang mendatang, jika diiringi dengan gunung kesabaran dan keikhlasan yang tiada bertepi di hati, insya-Allah semua perkara akan dipermudahkan.
“Allah beri pada takat usaha hamba!” ayat seorang novelis muda Ila Husna.
Pejam celik, pejam celik, hanya berbaki dua semester kuliah dan satu semester praktikal. Insya-Allah. Masa yang ada tak lama dah. Sebelum tempoh pengajian ini berakhir, sesuatu yang diburu sekian lama itu perlu direalisasikan. Sebelum menapak ke tingkat hayat yang seterusnya dalam fasa hidup ini, impian yang didambakan sekian lama perlu diraih. Hidup ini akan terasa sempit jika tiada luasnya cita-cita. Jika bukan sekarang bila lagi Ina Nailofar. Kuat berusaha tanpa jemu. Pasti ada jalannya. Yakin dengan sebenar yakin. Noktah.

***
Semester kelima sudah tiba ke penghujungnya. Sekarang, aku sedang ranum meniti titian minggu ulang kaji yang menjadi fasa penting untuk persediaan menghadapi cabaran imtihan. Hanya tinggal beberapa tapak lagi untuk melangkah dan menjelang tanggal 7 Januari 2013 nanti, aku akan melompat riang ke seberang. Harapanku semoga dapat kekal berada atas landasan ini tanpa ada goyah di hati.  Semoga Allah redha.
Sebelum kumeneruskan kembara redah berhalangan ini, suka aku berhenti seketika di tengah jeda yang ada untuk kembali mengutip mutiara cinta yang menguat perjalananku semester ini. Seperti arkib yang tersurat di bawah ini, contengan kali ini bakal menyambung legasi coretan pengalaman sepanjang pengembaraan di kolej hayat ini.

Semester 1 = Fasa 1 Siswi UPM

Semester 2 = Fasa 2 Siswi UPM

Semester 3 = Fasa 3 Siswi UPM

Semester 4 = Fasa 4 Siswi UPM


Rentak kembaraku dihiasi dengan sumbangan bakti beberapa insan berjasa. Semester kelima ini memperlihatkan tujuh subjek yang dipelajari dan keseluruhannya mewakili 20 kredit. Suatu jumlah kredit yang maha besar untuk dipikul. Dan Alhamdulillah, aku dapat harungi segalanya hingga detik ini. Syukur. Pandang insan lain, ada yang diuji dengan lebihan jam kredit daripadaku. Jika mereka mampu harungi, Ina mesti lebih-lebih lagi. Optimis J Allah uji dengan apa yang Ina mampu. Senyum.
Jom telusuri Kolej Hayatku di semester lima ini.

1)   KEMAHIRAN KOMUNIKASI DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU
---> Dr. Ghazali Lateh.

Takdir Allah sangat indah, tidak kusangka semester ini kumasih diberi ruang dan peluang untuk belajar dari insan hebat ini. Jika di semester ketiga lalu, kubelajar Pengajaran Kemahiran Mengarang bersama beliau. Kini, dalam konteks kemahiran yang agak berbeza. Yakni, komunikasi. Tambahan pula, beliau telah menjadi pensyarah tetap di kampus hijau kini. Tahniah Dr. Ghazali Lateh J

Kata beliau, untuk menjadi guru, aku harus punya skil komunikasi yang baik. Lebih-lebih lagi sebagai guru bahasa. Aku bersyukur kerana dilahirkan di Utara tanah air yang mana bahasa seharian sudah kedengaran baku dan pastinya bebas daripada masalah dialek. Ditambah pula dengan secebis minat dalam bidang seni berpidato sedari sekolah, belajar berpantun pula, bersajak, syarahan juga dan lain-lain banyak membantu memperkayakan kemahiran berkomunikasi ini. Namun, untuk tampil bergaya mengajar murid-murid nanti, pengalaman lampau itu harus diperkayakan dengan penguasaan pelbagai jajang ilmu pengetahuan. Inilah medannya. Pelbagai teknik berkomunikasi dengan efektif diajarkan. Namun, mendepani masa depan, aku seakan berubah menjadi seorang yang amat berat mulut. Ya, jujur aku semakin berhati-hati untuk bercakap sekarang. Perlukan masa sebagai terapi yang mendamaikan. J

Kelas kuliah Dr. Ghazali Lateh diadakan pada hari Isnin. Satu-satunya kelas yang aku ada pada hari tersebut. Manakala kelas amali pula dijalankan pada hari Jumaat, petang. Penunjuk ajar ialah Tuan Haji Hamid, bekas pensyarah di Institut Pendidikan Guru. Jujurnya terasa sangat bertuah kerana mendapat bimbingan daripada insan-insan yang ‘pakar’ dalam dunia pendidikan bahasa. Namun, manusia memang tak dapat lari dari kelemahan kan? Aku suka gaya pembelajaran mereka namun kurang power sikit. Lihat, besar cabaran mengajar generasi di alaf ke-21 ini. Keperluan para pelajar berbeza-beza.

Contohnya, aku semakin kurang selesa jika pendekatan permodelan digunakan dalam pembelajaran. Bagi pelajar lemah mungkin itulah cara terbaik sebab kaedah ini hanya duduk, lihat model dan salin. Itu yang hakikatnya berlaku dalam dewan kuliah. Menyalin nota dari skrin putih itu. Tak bagus! Memang latihan menulis tangan itu bagus, menggerakkan segala urat sendi namun, kurang berkesan. Bayangkan bagaimana pembelajaran itu akan efektif jika proses menyalin dan mendengar penerangan berjalan secara serentak. Tipu la jika nak kata 100% pelajar boleh faham dan dapat tangkap. Mesti ada lompang-lompangnya.

Begitulah realitinya yang berlaku. Betapa menjadi guru memerlukan skil komunikasi yang tinggi. Mesti mewujudkan hubungan dua hala dengan para pelajar. Nak tarik perhatian pelajar bukan mudah tapi tiada yang mustahil Induksi set mesti menarik. Ini langkah pemula yang menentukan keberkesanan P&P itu sendiri. Benda asas yang guru selalu pandang mudah. Dan sesuatu yang penting, setiap arahan yang dikeluarkan terutamanya melibatkan hal ehwal tugasan kerja kursus perlulah terang dan jelas. Terutama sekali kelas besar dan melibatkan kelompok kumpulan pelajar berbeza semester ini. Nak hantar bila, format bagaimana dan sebagainya. Semua ini jika benar-benar jaga, seseorang pendidik itu akan kelihatan sangat ‘berkarisma’ di mata anak-anak didiknya. Betul. Sudah terbukti berkesan, haha.

***

Dan kini…subjek ini merupakan kertas pertama yang akan kujalani peperiksaan. Nota-nota pembelajaran Alhamdulillah semuanya lengkap. Soalan-soalan yang menjadi target juga ada. Ihsan seniorku. Ohya, subjek ini diambil sekali gus oleh senior, semester kelima dan junior PBMP. Jadi, pensyarah yang berbeza ada pro dan kontranya. Terima kasih kepada Kak Fieza Tahir yang beritahu soalan spot. Hehe…insya-Allah ada rezeki masuklah satu dua atau tak mustahil sedebuk J
Markah terkumpul untuk subjek ini belum naik sepenuhnya. Untuk peperiksaan akhir menjanjikan 30%, usahalah sehabis daya Ina Nailofar. Pasti nak skor A kertas ini.

(*^-^*) Suka ayat Dr. Ghazali Lateh bila ada para pelajar yang masuk lewat ke kelas, ‘’Jangan risau, jemput duduk..kelas belum mula pun lagi.’’   ***Padahal nota dah lepas beberapa slaid J
~~~”Nak jadi penulis, mula dari sekarang. Proses nak cipta nama memakan masa.”(Ghazali Lateh)

(*^-^*) Kelas amali Tuan Haji Hamid pula tidak kurang hebatnya. Beliau seorang yang tenang, dan romantis? Yeke? Ayat yang membuatkan aku tertarik, “orang yang nak dunia dia menjadi kecil, bercintalah waktu belajar.”

**Baiklah, tutup cerita kelas komunikasi. Selamat ulangkaji Ina. Bab 1 hingga bab11 masuk. Hadam.** J


    2.  Pengujian dan Penilaian
----> Pensyarah, Dr. Fadzilah Abd. Rahman.
----> Penunjuk ajar untuk amali, Cikgu Junaida J

Sekali lagi semester ini berpeluang meneguk ilmu daripada insan hebat yang pernah mengajarku pada semester yang lepas-lepas. Sebelum ini pernah belajar dengan Dr. Fadzilah Abd. Rahman dalam kelas Pengajaran Kemahiran Membaca. Jujurnya, beliau sangat komited orangnya. Menjaga disiplin dan ketetapan masa, perkara yang aku suka. Adab belajar amat dijaga, pelajar datang lewat dia tegur. Itu yang perlu, bukan buat tak tahu sahaja. Dalam kelas pertama lagi sudah ada kontrak pembelajaran iaitu perjanjian sepanjang semester ini. Dengan gaya keibuan mengajar sangat dedikasi. Kelas beliau yang dua jam itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan membuat aktiviti sebagai peneguhan pengajaran kuliah beliau. Kiranya pembelajaran berjalan secara aktif.

~Tugasan kerja kursus~
Ini antara subjek yang menguji kesabaran kami sepanjang semester ini. Ada dua tugasan diberikan. Pertama, perlu menyediakan set soalan dan pergi ke sekolah untuk diuji kepada para pelajar. Ini nampak mudah tetapi nak melaksanakannya bukan mudah. Faktor semester ini berada di hujung tahun, rata-ratanya sekolah sudah kesunyian..Para pelajar dah ramai pontenglah sebab dah habis peperiksaan hujung tahun. Set soalan yang dirangka pada aras mudah dan mensasarkan kepada pelajar tingkatan satu. Namun, di saat kertas soalan sudah dicetak, sekolah terbabit membuat pembatalan dan tidak dapat menerima kehadiran kami dek beberapa faktor yang mengahalang pihak sekolah.  Bayangkan? Duit sudah dikeluarkan untuk membuat salinan kertas soalan. Hanya Allah SWT sahaja yang mengerti rasa di hati. Akhirnya,  Sekolah Menengah Tinggi Kajang menjadi destinasi kami untuk membuat pengujian soalan kepada para pelajar tingkatan 6, kebetulan kawanku sekolah di sana dahulu jadi berkat pertolongan gurunya juga kami dapat sekolah tersebut. Satu malam masa yang kami ada. Dek beberapa masalah teknikal bersama rakan-rakan sekumpulan, akhirnya aku dan seorang sahabat sahaja yang bertungkus-lumus saat akhir menyediakan set soalan. Masih segar di minda, malam itu cuaca nak hujan. Kami kolej kediaman yang berasingan. Aku gagahkan diri juga ke kolejnya. Tup..tup hujan…namun, dek mahu mendapatkan talian internet yang baik, aku tinggalkan motor di kafe dan naik bas untuk ke  Perpustakaan Sultan Abdul Samad(PSAS) untuk membuat soalan pengujian bagi tingkatan enam. Dari soalan aras mudah tingkatan 1 tukar ke aras yang bersesuaian dengan pelajar tingkatan 6. Syukur kerana aku salah seorang graduan tingkatan enam. Kira, pengalaman lalu banyak membantu. Dek pertolongan guru tingkatan enam lalu, Puan Solehah (kini mengajar Sekolah Sultanah Asma, Alor Setar) yang kebetulan berada di atas talian, aku minta ihsan beliau untuk memberikan contoh set soalan ujian para pelajarnya. Alhamdulillah, Allah permudahkan talian internet malam itu. Namun terlupa minta skema jawapan. Kami berdua cuba-cuba menjawab dan soalan relevan kami ambil terutama di bahagian tatabahasa. Meskipun pada asalnya bahagian ini bukan bahagian kerja kami. Inilah nilai gerak kerja kumpulan. Pengorbanan itu sangat manis. Alhamdulillah dalam masa dua jam, kami selesai dapatkan soalan. Dan mengejar masa kerana perkhidmatan bas untuk pulang semula ke kolej akan tamat sebelum jam 10.30 malam. Jadi, bergegas. Membelah kepekatan malam dengan rintik-rintik hujan yang mendinginkan. Kerja tiba habis di situ. Kami duduk sambung buat di kafe pula. Aku sambung membuat kerja editing dan rakanku pulang ke bilik untuk mengambil kertas A4. Nasib baik dia ada simpanan 1 rim kertas A4. Ikutkan bekalan aku??Jujur, tinggal beberapa helai sahaja di bilik. Dengan izin Allah, jam 12 lebih habis kerja kami. Bersurai di situ. Aku pulang ke kolej. Masih basah di ingatan, betapa dinginnya membawa motor dalam suasana tengah malam seorang diri dan hanya ditemani rintik-rintik hujan itu. Ya Allah, semoga semua ini menjadi sumber penghapus dosa-dosaku. Jika tidak kuat memang boleh terbabas.   
Kerja malam itu tidak berakhir di situ. Sampai kolej, aku teruskan kerja-kerja percetakan pula. 30 set kertas soalan(satu set sekitar belasan muka surat). Terima kasih printer canon comelku. Suka tengok dia tersengguk-sengguk mengeluarkan dakwat. Kau banyak berjasa. Terus berjasa ya sayang! J Habis 1 rim kertas A4 tadi. Usai segalanya malam itu sekitar jam 4 pagi. Kesian teman sekamar, mesti sedikit sebanyak aku mengganggu tidurnya dek bunyi printerku yang sopan. Penangan tugasan ini.

Esoknya pergi sekolah buat pengujian soalan.
Habis pelajar jawab, perlu buat analisis menggunakan JSU pula. Ini lagi mencabar. Benda tak belajar lagi, berdasarkan rujukan melalui buku-buku buat sendiri.  Urusan cantum tugasan juga menggamit memori. Dek kelewatan salah seorang, yelah dugaannya cuti pertengahan semester pulang ke rumah, maka kerja tidak berjalan. Lepas cuti dah kena hantar. Sabar aku agak teruji. Aku insan biasakan. Penantian itu menguji kesabaran nurani. Apabila aku diam dan lebih membawa diri maknanya aku sedang marah la tu. Kita bersahabat sudah hampir lima semester, takkan masih tidak berupaya membaca rentak laku sahabatmu? Alhamdulillah, dalam krisis sebegitu dan sebegini, Allah permudahkan usaha kami dengan memberikan markah tertinggi berbanding kumpulan lain. Syukur. Berbaloi susah payah itu. Itu ceritera tugasan pertama.
Tugasan kedua pula buat kajian perpustakaan sahaja. Tetapi bertuahnya mendapat giliran pertama perbentangan. Di saat orang lain masih boleh goyang kaki di awal semester, kami sudah bertungkus lumus sediakan slaid untuk bentang. Kelas amali perlu dua kali bentang. Alhamdulillah, lepas bentang lega. J
***
Jujurnya, aku sukakan kelas subjek ini. Dr. Fadzilah memang tak terkenal kepakarannya. Dibantu Cik Junaida pula (guru yang sedang buat PhD) memang sangat seronok. Selingan cerita akan pengalaman yang sedang dilalui di sekolah, mencuit hati. Sedikit sebanyak kami didedahkan dengan keadaan semasa di sekolah. Sebab itu aku menggemari jika penunjuk ajar amali terdiri daripada guru yang sedang sambung belajar. Dalam kesibukan mereka, ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan. Aku doakan Cikgu Junaida dapat habiskan PhD tahun depan. Kita konvo sama-sama ya! J

~Konklusi~
Subjek ini merupakan killer paper dalam bidang pendidikan.
 Terutama sekali bagi kami pelajar PBMP yang selesa dengan huruf tetapi kena mengira pula dan ada graf-graf keluk-keluk ni sangat mencabar. Selepas belajar subjek ini betapa aku lihat pentaksiran di sekolah sangat penting. Salah satu cara untuk menilai pelajar dengan cara inilah. Pentaksiran sumatif dan pentaksiran formatif. Insya-Allah Ina suka subjek ini tetapi nak dapat A tak boleh sekadar suka. Kena kuasai betul-betul semua istilah tu. Mengira juga. Ini kertas kedua yang akan kuhadapi masa peperiksaan nanti. Fokus Ina, you can do it!

Dr. Fadzilah Abd. Rahman, terima kasih atas segalanya. Kewibawaannya ketika mengajar di dalam kelas memotivasikanku untuk hadir awal ke kuliahnya. (Kelas awal pagi tau)

Cikgu Junaida à Anda role model  kami. Anak kelahiran Sik, Kedah ini ada bakat mengajar dan skil komunikasi yang sangat baik. Ina suka mendengar cikgu bercakap. Faham. Jelas sangat. Beliau sambung belajar kerana memang sifat cintakan ilmu tu. Konsep pendidikan sepanjang hayat ini sedang dipraktikkan di depan mata aku. J

***Bersambung bahagian kedua, terasa panjang pula. 

0 Lontarkan KALAM anda: