Dalam mengupas surah Ali Imran ayat 23, masing-masing akan
diadili mengikut apa yang diamalkan. Walaupun bukan kata-kata. Perbuatan
juga.Senyum dan ketawa itu juga dicatit oleh penjaga di kedua bahu kita.
Nilainya yang akan dihisab. Senyum ikhlas adalah sadaqah. Senyum sinis
sebaliknya. Tiadalah dizalimi oleh Allah. Yang zalim di dunia akan dituntut,
membawa bersama kegelapan di akhirat.
(Kalam Habib Ali Zaenal Abidin)
|
AKU ‘AMIRAH’?
Masih basah di fikiran memori dua tahun yang lalu.
Bersama seorang rakan PBMP, Hidayah; tika Bazar
Persatuan di Bukit Ekspo sempena Minggu Penutupan Orientasi Pelajar Baharu sesi
2010/2011. Kami mencari booth anak negeri.
Jelas di mata, booth Anak Negeri Kelantan, Terengganu, Perak, Johor,
Pahang, Sabah dan Sarawak. Meriah booth mereka bersama kibaran bendera negeri
masing-masing. Lambang berkobarnya semangat mereka menyambut adik-adik baru
yang baru berada di perantauan ini. Melintasi beberapa booth, panjang kepala
meninjau-ninjau. Sebenarnya apa yang kami cari? Pastinya Persatuan Anak Negeri
Kedah, ataupun Pulau Pinang. Namun,
hampa. Jelas tidak kelihatan. Lantas,
kami memberanikan diri untuk bertanya seorang sukarelawan di salah sebuah booth
yang berhampiran. Jawapan beliau, merungkaikan persoalan yang berlegar di
minda. Dulu ada, sekarang sudah tidak aktif. Noktah.
Kami masih berlegar-legar di sepanjang booth yang ada.
Masuk booth, tulis nama dan beberapa butiran pengenalan diri dan ambil
cenderahati. Terima kasih J Pelajar baharu
kan, memang seronok kumpul barang yang ada tulis nama kampus hijau!
Hinggalah tiba
di satu booth, Hidayah menunjukkan reaksi tidak berminat untuk memberikan
butiran diri di situ. Melihat nama kelab yang tertera menarik minatku
sebenarnya. Kelab Bimbingan Mahasiswa(KBM). Persis unit Pembimbing Rakan Sebaya(PRS)
di bawah Kaunselor ketika sekolah dahulu yang aku secara paksa rela menjadi
Pengerusi dahulu. Namun, tiada sebarang gerak kerja yang dilakukan melainkan
sebagai memenuhi jawatan yang ada. Tidak seperti PRS di sekolah lain, MRSM
misalnya punya uniform tersendiri untuk PRS. Mungkin faktor masih baharu di
SMKSE. Ah, itu kenangan lama! Sesuatu yang pasti, Hidayah menunggu aku menulis
nama di borang yang disediakan di booth KBM ini.
Bermulalah pengembaraanku di bumi hijau ini. Minggu
pertama memperlihatkan aku berlari-lari mencari kelas. Terutama untuk subjek
universiti yang kelas berada di fakulti lain. Memang lelah sepanjang pengalaman awal itu. Seminggu
selepas itu, menerima mesej pesanan ringkas yang mengkhabarkan rehlah KBM di
Bukit Ekspo juga. Daripada nombor telefon yang tidak dikenali. Banyak juga
mesej yang kuterima dari kelab dan persatuan lain. Entah tarikan dari mana,
rehlah ini yang membuka hatiku. Lantas, aku mendapatkan seorang teman yang
kukenali di Bukit Ekspo minggu lalu, Munirah(Awek Kelate) untuk menemaniku ke
rehlah tersebut. Munirah pula tidak keberatan untuk turut bersama. Padahal
hujung minggu itu waktu yang seronok untuk duduk berehat di bilik sahaja. Allah, mudahnya Allah membuka jalanku ke
sana. Alhamdulillah.
Bermula rehlah KBM ini, segala-galanya bermula. Memang
tidak ramai yang hadir tika hari tersebut. Sekitar 20 orang sahaja. Namun,
manisnya salam taaruf yang dihulur sukar untuk diterjemahkan. Bermain ala-ala
bola jaring. Berhenti makan dan minum pagi dan seterusnya duduk berkumpul dalam
bulatan gembira. Pelbagai karakter baru muncul di hadapan mata. Jujur, hati
tertarik untuk sama-sama berada dalam kelompok keluarga bahagia mahasiswa ini.
Seorang insan yang hadir ke bumi hijau dengan niat dan harapan untuk mencari
‘nur’ Ilahi ini akhirnya dipertemukan dengan KBM sebagai medan perhijrahan
diri. Itu pemula, bagaimana diri ini mencari dan akhirnya dipertemukan dalam
ikatan ukhwah yang amat manis ini. Jalan yang dilalui ini bukan mudah. Banyak
pengorbanan yang telah, sedang dan menuntut untuk dilakukan. Banyak tuntutan
masa, perhatian tumpuan dan air mata yang dah tumpah dek perjuangan ini.
Setelah hampir dua tahun ini berlalu, akhirnya masa ini tiba juga. Tak
terlintas di minda untuk memegang jawatan ini. Apatah lagi di alam varsiti ini.
Jika dahulu, di bangku persekolahan memang aku disaluti banyak jawatan. Dalam
satu masa pernah menjawat beberapa jawatan penting di sekolah. Tetapi kini jujur,
aku tak pernah menjadikan jawatan sebagai sasaran sejak berada di kampus. Itulah,
hebatnya aturan Ilahi. Allah kata ‘kun fayakun.’ Maka, segalanya terjadi.
Muktamar KBM ke-21, aku menjadi bidan terjun sebagai
pengacara majlis.
Muktamar KBM ke-22, aku dinaikan sebagai Timbalan
Setiausaha.
|
-Laporan khas muktamar- |
Dengan izin Allah SWT, semalam 15hb Mac 2013 telah
diadakan muktamar KBM yang ke -23. Lihat, usia penubuhan KBM juga sematang
usiaku ini. Dan kali ini, aku ditauliahkan sebagai Amirah KBM. Allah…aku redha
dengan apa yang diaturkan ini. Meskipun, jauh di sudut hati aku mahu lari
sejauhnya dari medan ini. Mahu memberi masa kepada diri untuk menumpu perhatian
kepada sisa-sisa hayat di kampus hijau ini. Namun, akademik memang nombor satu
tetapi dakwah bukan nombor dua. Allah…bantulah aku untuk memikul amanah ini. Sebagai
seorang insan yang dilahirkan dengan seribu satu minat dan kecintaan ini,
amanah yang baru diterima ini menambah ruang kerja yang sedia ada.
Aku ingin bebas daripada dilema cinta ini. Aku ingin
bebas daripada masalah. Namun, sudah sampai di peringkat ini, aku tidak boleh
undur ke belakang lagi. Belajarlah untuk redha. Hanya satu yang aku pegang.
Allah beri pada takat usaha hamba-Nya. Andai rezekiku sudah tertulis itu,
apabila tiba masanya pasti akan menjadi milikku jua. Perancangan Allah hebat,
takkan awal atau lewat sikitpun. Milikilah jiwa yang teguh. Jika kesibukan yang
dirisaukan? Yakinlah, kesibukan itulah yang mendisiplinkan diri.
Salam takziah buat diri. Amanah ini bakal dipersoal kelak.
Inilah kemuncak kepada detik penghijrahan seorang hamba. Ini masanya untuk aku
baiki segala khilaf lalu. Ya Allah, betapa Kau telah banyak menjaga aibku. Mana
mungkin aku menjadi hamba yang tidak bersyukur. Alhamdulillah, aku punya masa
dan kesempatan ini untuk perbetulkan segala-galanya. Terima kasih ya Allah.
Tahniah buat adik-adik yang sedang bersamaku dalam saf
qiyadah baharu KBM 2013/2014
Amir Syazwan Al-Banna (Presiden)
Muinnuddin YB (Timbalan Presiden 1)
Zhafri (Setiausaha)
Wan Aima Atiqah (Timbalan Setiausaha)
Tuan Sharifah Khairunisa (Bendahari)
-Barisan exco-
Adila Samsu, Hanisah Humaira, Najwa, Khairani, dll
Insya-Allah, bakal berkenalan bersama adik-adik hebat ini. Masing-masing punya kekuatan tersendiri. Petah berbicara, pemikir, manis senyuman dan seribu satu karakter baru yang bakal memeriahkan legasi kepimpinan KBM.
***Besar harapan mantan kepada kami untuk terus
memanfaatkan kehidupan berorganisasi di bumi hijau ini.
KBMUPM....
Ini medan muhasabah,
Ini medan penyuburan kasih sayang,
Ini medan pertautkan ukhwah,
Ini medan memugar potensi yang ada. Insya-Allah.
0 Lontarkan KALAM anda:
Post a Comment