KEPUTUSAN SPM 2012

23 March 2013

Bagi rakyat Malaysia yang cakna, pasti sudah maklum akan keputusan SPM 2012 yang baru sahaja diumumkan pada tanggal 21 Mac 2013 yang lalu. 
Bagi yang para pelajar yang melaluinya pasti amat berdebar-debar menantikan detik itu.
Kini, beberapa telah berlalu....adik-adik yang menghadapi SPM 2012 pun sudah mengetahui keputusan peperiksaan masing-masing. 
Pada tarikh tersebut, diri ini mempunyai rencana tersendiri. Punya dua ujian yang perlu disantuni dan satu perbentangan SCL yang perlu didepani. Namun, dari jauh diri ini tidak putus berdoa untuk seseorang insan di sana. Alhamdulillah, sekitar jam 12 tengah hari, sebelum mulanya sesi perbentangan, aku telah menerima khabar gembira yang dinanti-nantikan.
Tahniah buat adikku, Nur Hazirah Mohd Fisol.
Keputusan terbaik buat kamu.
Semangat sungguh, siap satu entri pengalaman peribadinya.
Boleh baca DI SINI :) 
***rasa rindu nak balik rumah bila baca apa yang ditulisnya. Huhu...Bersabar. 
Cuti pertengahan semester hanya dua minggu lagi. 
~Hasil buatan Adik Irah~
***Peneman 'study' untuk budak-budak yang rajin stay-up***
~Promosi cuti sekolah..hehe~
Selamat memilih jurusan yang sesuai dengan diri kamu ya, dik.
Awak bakal melangkah ke alam baharu. 
Mesti rancang baik-baik dari sekarang. 
Tahniah adikku dan kawan-kawan(rata-rata pelanggan setia Kraf Ina Nailofar, hehe)
Adik-adik BERJAYA'11(SMKDBL, Johor)
dan rakan-rakan blogger.
Langkah kalian baru sahaja bermula,
Usah pandang ke belakang,
Mari melakar impian!
Nan gemerlapan...
Selamat maju jaya.
Nota kaki = Setiap kali saya ambil keputusan peperiksaan mesti menangis. Tapi, kini...tidak lagi! Yelah, dah puas menangis dulu kot..lalala

AKU 'AMIRAH'???

16 March 2013

~Kalam Hikmah~

Dalam mengupas surah Ali Imran ayat 23, masing-masing akan diadili mengikut apa yang diamalkan. Walaupun bukan kata-kata. Perbuatan juga.Senyum dan ketawa itu juga dicatit oleh penjaga di kedua bahu kita. Nilainya yang akan dihisab. Senyum ikhlas adalah sadaqah. Senyum sinis sebaliknya. Tiadalah dizalimi oleh Allah. Yang zalim di dunia akan dituntut, membawa bersama kegelapan di akhirat. 
(Kalam Habib Ali Zaenal Abidin)


AKU ‘AMIRAH’?

Masih basah di fikiran memori dua tahun yang lalu.

Bersama seorang rakan PBMP, Hidayah; tika Bazar Persatuan di Bukit Ekspo sempena Minggu Penutupan Orientasi Pelajar Baharu sesi 2010/2011. Kami mencari booth anak negeri.  Jelas di mata, booth Anak Negeri Kelantan, Terengganu, Perak, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Meriah booth mereka bersama kibaran bendera negeri masing-masing. Lambang berkobarnya semangat mereka menyambut adik-adik baru yang baru berada di perantauan ini. Melintasi beberapa booth, panjang kepala meninjau-ninjau. Sebenarnya apa yang kami cari? Pastinya Persatuan Anak Negeri Kedah,  ataupun Pulau Pinang. Namun, hampa.   Jelas tidak kelihatan. Lantas, kami memberanikan diri untuk bertanya seorang sukarelawan di salah sebuah booth yang berhampiran. Jawapan beliau, merungkaikan persoalan yang berlegar di minda. Dulu ada, sekarang sudah tidak aktif. Noktah.

Kami masih berlegar-legar di sepanjang booth yang ada. Masuk booth, tulis nama dan beberapa butiran pengenalan diri dan ambil cenderahati. Terima kasih J  Pelajar baharu kan, memang seronok kumpul barang yang ada tulis nama kampus hijau!

Hinggalah  tiba di satu booth, Hidayah menunjukkan reaksi tidak berminat untuk memberikan butiran diri di situ. Melihat nama kelab yang tertera menarik minatku sebenarnya. Kelab Bimbingan Mahasiswa(KBM). Persis unit Pembimbing Rakan Sebaya(PRS) di bawah Kaunselor ketika sekolah dahulu yang aku secara paksa rela menjadi Pengerusi dahulu. Namun, tiada sebarang gerak kerja yang dilakukan melainkan sebagai memenuhi jawatan yang ada. Tidak seperti PRS di sekolah lain, MRSM misalnya punya uniform tersendiri untuk PRS. Mungkin faktor masih baharu di SMKSE. Ah, itu kenangan lama! Sesuatu yang pasti, Hidayah menunggu aku menulis nama di borang yang disediakan di booth KBM ini.

Bermulalah pengembaraanku di bumi hijau ini. Minggu pertama memperlihatkan aku berlari-lari mencari kelas. Terutama untuk subjek universiti yang kelas berada di fakulti lain. Memang lelah  sepanjang pengalaman awal itu. Seminggu selepas itu, menerima mesej pesanan ringkas yang mengkhabarkan rehlah KBM di Bukit Ekspo juga. Daripada nombor telefon yang tidak dikenali. Banyak juga mesej yang kuterima dari kelab dan persatuan lain. Entah tarikan dari mana, rehlah ini yang membuka hatiku. Lantas, aku mendapatkan seorang teman yang kukenali di Bukit Ekspo minggu lalu, Munirah(Awek Kelate) untuk menemaniku ke rehlah tersebut. Munirah pula tidak keberatan untuk turut bersama. Padahal hujung minggu itu waktu yang seronok untuk duduk berehat di bilik sahaja.  Allah, mudahnya Allah membuka jalanku ke sana. Alhamdulillah.

Bermula rehlah KBM ini, segala-galanya bermula. Memang tidak ramai yang hadir tika hari tersebut. Sekitar 20 orang sahaja. Namun, manisnya salam taaruf yang dihulur sukar untuk diterjemahkan. Bermain ala-ala bola jaring. Berhenti makan dan minum pagi dan seterusnya duduk berkumpul dalam bulatan gembira. Pelbagai karakter baru muncul di hadapan mata. Jujur, hati tertarik untuk sama-sama berada dalam kelompok keluarga bahagia mahasiswa ini. Seorang insan yang hadir ke bumi hijau dengan niat dan harapan untuk mencari ‘nur’ Ilahi ini akhirnya dipertemukan dengan KBM sebagai medan perhijrahan diri. Itu pemula, bagaimana diri ini mencari dan akhirnya dipertemukan dalam ikatan ukhwah yang amat manis ini. Jalan yang dilalui ini bukan mudah. Banyak pengorbanan yang telah, sedang dan menuntut untuk dilakukan. Banyak tuntutan masa, perhatian tumpuan dan air mata yang dah tumpah dek perjuangan ini. Setelah hampir dua tahun ini berlalu, akhirnya masa ini tiba juga. Tak terlintas di minda untuk memegang jawatan ini. Apatah lagi di alam varsiti ini. Jika dahulu, di bangku persekolahan memang aku disaluti banyak jawatan. Dalam satu masa pernah menjawat beberapa jawatan penting di sekolah. Tetapi kini jujur, aku tak pernah menjadikan jawatan sebagai sasaran sejak berada di kampus. Itulah, hebatnya aturan Ilahi. Allah kata ‘kun fayakun.’ Maka, segalanya terjadi.

Muktamar KBM ke-21, aku menjadi bidan terjun sebagai pengacara majlis.

Muktamar KBM ke-22, aku dinaikan sebagai Timbalan Setiausaha.

-Laporan khas muktamar-
Dengan izin Allah SWT, semalam 15hb Mac 2013 telah diadakan muktamar KBM yang ke -23. Lihat, usia penubuhan KBM juga sematang usiaku ini. Dan kali ini, aku ditauliahkan sebagai Amirah KBM. Allah…aku redha dengan apa yang diaturkan ini. Meskipun, jauh di sudut hati aku mahu lari sejauhnya dari medan ini. Mahu memberi masa kepada diri untuk menumpu perhatian kepada sisa-sisa hayat di kampus hijau ini. Namun, akademik memang nombor satu tetapi dakwah bukan nombor dua. Allah…bantulah aku untuk memikul amanah ini. Sebagai seorang insan yang dilahirkan dengan seribu satu minat dan kecintaan ini, amanah yang baru diterima ini menambah ruang kerja yang sedia ada.

Aku ingin bebas daripada dilema cinta ini. Aku ingin bebas daripada masalah. Namun, sudah sampai di peringkat ini, aku tidak boleh undur ke belakang lagi. Belajarlah untuk redha. Hanya satu yang aku pegang. Allah beri pada takat usaha hamba-Nya. Andai rezekiku sudah tertulis itu, apabila tiba masanya pasti akan menjadi milikku jua. Perancangan Allah hebat, takkan awal atau lewat sikitpun. Milikilah jiwa yang teguh. Jika kesibukan yang dirisaukan? Yakinlah, kesibukan itulah yang mendisiplinkan diri.

Salam takziah buat diri. Amanah ini bakal dipersoal kelak. Inilah kemuncak kepada detik penghijrahan seorang hamba. Ini masanya untuk aku baiki segala khilaf lalu. Ya Allah, betapa Kau telah banyak menjaga aibku. Mana mungkin aku menjadi hamba yang tidak bersyukur. Alhamdulillah, aku punya masa dan kesempatan ini untuk perbetulkan segala-galanya. Terima kasih ya Allah.



Tahniah buat adik-adik yang sedang bersamaku dalam saf qiyadah baharu KBM 2013/2014

Amir Syazwan Al-Banna (Presiden)
Muinnuddin YB (Timbalan Presiden 1)
Zhafri (Setiausaha)
Wan Aima Atiqah (Timbalan Setiausaha)
Tuan Sharifah Khairunisa (Bendahari)
-Barisan exco-
Adila Samsu, Hanisah Humaira, Najwa, Khairani, dll

Insya-Allah, bakal berkenalan bersama adik-adik hebat ini. Masing-masing punya kekuatan tersendiri. Petah berbicara, pemikir, manis senyuman dan seribu satu karakter baru yang bakal memeriahkan legasi kepimpinan KBM. 

***Besar harapan mantan kepada kami untuk terus memanfaatkan kehidupan berorganisasi di bumi hijau ini.

KBMUPM....
Ini medan muhasabah,
Ini medan penyuburan kasih sayang,
Ini medan pertautkan ukhwah,
Ini medan memugar potensi yang ada. Insya-Allah.

JOHAN CERPEN?

Semester keenam di bumi hijau yang subur ini menyaksikan pelbagai kejutan yang tidak disangka-sangka.  Alhamdulillah, syukur. Sesuatu yang kuperoleh ini merupakan kemuncak kepada medan kecintaanku selama ini.

Pertandingan dijalankan pada semester yang lalu. Lama juga masa yang diambil untuk pengumuman pememang. Hampir terlupa sebenarnya. Surat jemputan ke majlis penyampaian hadiah juga tiba lewat  di pintu bilik dan hakikatnya aku tidak hadir pun ke majlis tersebut. Tak yakin langsung yang boleh menang. 
Aku Johan Cerpen?


Bagaikan mimpi meraih kejayaan ini. Cerpen pertama yang kuberjaya tukangi. Mungkin ramai yang tidak percaya, sepanjang kurang lebih 11 tahun menulis. Inilah kali pertama aku menulis cerpen sepenuhnya. Yakni, hingga habis. Selama ini hanya semangat mendraf sahaja, buat rajah pohon la, ranting la untuk kembangkan cerita tetapi hanya di pertengahan jalan sahaja.  Mungkin benar, aku lebih senang menulis sajak dan puisi lagi (memang genre itulah yang mendapat tempat di media percetakan suatu masa dahulu…ditegaskan dahulu…lama dah tak menulis ). Sebab itulah, kucuba habiskan juga penulisan cerpen ini. Mencabar diri untuk membuktikan sesuatu. Walau pada hakikatnya, cerpen ini amat bersifat peribadi. Tetapi, inilah medan pemula untuk aku mendaki genre cerpen pula.
Ingat lagi, cerpen ini juga dihantar pada minit-minit terakhir sebelum menjelangnya tarikh tutup. Masa yang amat singkat dek tempoh pengeraman yang agak lama bagi menghasilkan cerpen ini. Alhamdulillah, berhasil.

Terima kasih kerana penilai, seksyen kaunseling UPM kerana memilih cerpen aku sebagai pemenang.

Rezeki awal semester. Bertepatan dengan masanya. Menanti biasiswa yang belum kunjung tiba.
Kapankah masuknya???

Menjadi johan, bukan bermakna yang terbaik. Mungkin, rezeki berpihak kepadaku. Alhamdulillah. Tahniah kepada pemenang yang lain. Melihat nombor matrik pemenang yang lain, rata-rata mereka lebih muda daripadaku. Ramai berada di tahun kedua dan pertama pengajian. Potensi mereka lebih besar untuk dipertengahkan.

Apapun, masih teringat ketika mengambil hadiah, kaunselor Puan Anis membisikkan sesuatu.
“Sila redha ya apabila cerpen ini diterbitkan.”

Oh, malunya aku! Kurasakan cerpen ini amat bersifat peribadi kerana tema pertandingan berkisar kepada pengalaman berada di UPM.  

***Kejayaan kecil ini menjadi titik mula untuk aku mengorak langkah untuk kembali menulis. Kerana apa? Ini medan kecintaanku. Insya-Allah. 

Nota kaki = Aku punya tugasan membuat cerpen untuk subjek di bawah Dr. Ghazali Lateh. Jujurnya, hingga saat ini masih belum gerak untuk menaip cerpen tersebut. (cerpen keduaku, insya-Allah). Entri ini buat pemugar semangat untuk bangkit segera menyiapkan tugasan tersebut. Chaiyok...chaiyok :) 

BAUCAR BUKU 1 MALAYSIA(BB1M)

09 March 2013

Apa khabar semua?
Semoga kalian sentiasa dalam rahmat Ilahi.

Kembali di sini untuk berkongsi sesuatu.
Ina yakin, semua rakan blogger yang bergelar pelajar di IPT sudah menerima baucer buku 1 Malaysia(BB1M) kan? 
Sudah tukar kepada buku ke belum?
Jika belum, kenapa belum tukar?
jangan cakap tak tahu nak beli buku apa ya..ketuk kepala kang!(garang ni, hehe)

Baiklah, saja nak kongsikan apa yang Ina dapat dari BB1M yang merupakan kali kedua dapat ini :)


Disebabkan biasiswa belum masuk, huuwaaa...agak lambat KPM kali ini. Beli buku akademik guna baucer tunai inilah :) 
Ina belajar Bahasa Arab semester ini. 
Bahasa Arab, bahasa Al-Quran.
Kali terakhir belajar bahasa Arab masa berusia 12 tahun. Setelah berapa lama tinggal, kali ini peluang tersedia. Tiada istilah terlewat kan? 
Dua buku lagi biasalah untuk subjek Etika Perguruan dan Penyelidikan Pendidikan. Semua ini cukup baucer RM100. Nilai buku akademik. Mahal. Sebab nama pun ilmu.

Berbaki tiga baucar lagi...jom-jom lihat apa lagi yang Ina rembat :)

Minggu lalu, dengan izin Pencipta, Ina dipermudahkan langkah ke Ekspo Buku Islam di Putrajaya. 
Pergi bersama senarai panjang buku yang nak dibeli. 
Hebat kan? padahal cuma ada tiga baucar sahaja.
Setelah pusing-pusing Dewan Cempaka Sari tu, akhirnya Ina singgah di  booth ITBM, Galeri Ilmu dan PTS.

Berikut merupakan barisan buku yang menjadi milikku. 


Buku dan majalah untuk diri sendiri. Ada buku untuk adik-adik juga. 
Tetapi, sebelum bagi tu nak baca dulu :)
Patut kan? Ilmu tu akan lebih bermanfaat jika dikongsi bersama. 
Selain itu, ada beli dua buah antologi cerpen. Memang khas untuk kajian sebab ada tugasan buat cerpen semester ini. Memandangkan ini tugasan kuliah, kena ada persediaan mendalam dan ilmu bantu yang sesuailah. Tidak boleh main redah je mengarang :) Semangat. Positif.
Habis dua baucar buku dan tambah duit sikit la. 
Untung beli di karnival sebegini sebab ada diskaun. Alhamdulillah.

Berbaki satu baucar lagi....Ina simpan sebab..jeng, jeng, jeng...
Di UPM ada karnival PC dan buku juga... Memandangkan keperluan terhadap barangan PC dan punya ruang keemasan sebab diterima baucer di sana, maka, mana mungkin peluang ini nak dilepaskan? 
Untung hanya ada satu baucer sahaja untuk ini. 

Ini juga ada diskaun. Kesemua ini cukup satu baucer :) 
Alhamdulillah. Memang perlukan tetikus, pembakar semangat nak buat assignment gitu. 

****

Maka, tamatlah kembara penebusan baucar buku 1 Malaysia ini.
Terima kasih kerana memberi, bagi sang pencinta ilmu, memang manfaatkan peluang ini sebaiknya.
Kena pada masanya, biasiswa yang belum kunjung tiba.
Maka, baucar ini amat membantu untuk dapatkan sumber keperluan untuk pembelajaran semester ini. 
Syukur selalu.

****
Buku semakin memenuhi ruang meja bacaan. 
Jom, berusaha untuk tunaikan hak setiap buku itu. 
Membaca itu best
Tak caya? harus cuba.